Events
21 July 2017

[Berita Harian] Hatten labur RM300j bangunkan hab kesihatan

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Kumpulan Hatten, Datuk Eric Tan (kanan) diiringi Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan, Hatten Land Ltd, Datuk Colin Tan (empat dari kanan) dan Pengarah Eksekutif dan Timbalan Pengarah Urusan, Hatten Land Ltd, Datuk Edwin Tan (dua dari kanan) ketika melawat replika bangunan Satori pada majlis pelancaran projek Satori Sanctuary In The City di ICON Gallery, Hotel Hatten Square, Banda Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

 

MELAKA: Syarikat hartanah, Hatten Group of Companies dan Hatten Land Ltd akan melabur RM300 juta bagi membangunkan projek Sanctuary of The City (SATORI) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pembangunan hab kesihatan utama di kawasan pusat bandar Taman Melaka Raya itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, projek pembangunan bercampur mempunyai 192 unit kediaman dan 50 kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bakal menjadi antara penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kasar negeri pada masa akan datang.

"Selain itu, ia pastinya menjadi antara penyumbang lonjakan sektor pelancongan kesihatan di Melaka kerana kualiti perkhidmatan dan kos rawatan berpatutan yang ditawarkan kepada pesakit.

"Antara kemudahan lain yang disediakan, termasuk gelanggang sukan, spa, studio tarian, pusat urutan tradisional, pusat refleksologi dan taman herba.

"Pembangunan SATORI adalah langkah tepat memandangkan lokasi negeri ini yang strategik, sekali gus mampu membangunkan hab kesihatan berkualiti bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negara," katanya perasmian projek itu di Hotel Hatten, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Hatten Group of Companies, Datuk Colin Tan.

Sementara itu, Colin berkata, SATORI dibina dengan misi membangunkan hab perubatan yang berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi dan penjagaan kesihatan bukan saja bagi penduduk setempat, malah rantau ini.

 

Source from: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/07/304418/hatten-labur-rm300j-bangunkan-hab-kesihatan